Cara-Cara Nak Elakkan Gigi Anda Luruh di Usia Muda

Rasanya saya tak perlu nak beritahu bahawa penyakit kencing manis atau diabetes adalah penyakit yang boleh beri kesan buruk kepada badan kita. Anda semua dah tahu lama benda ni.

Tapi kali ni saya nak tulis bagaimana penyakit ni boleh menyebabkan kita dijangkiti penyakit gusi malah jika tidak dicegah boleh menyebabkan kehilangan gigi!

Penyakit gusi ni biasanya disebabkan oleh plak serta kurang menjaga kebersihan gigi.

Plak adalah lapisan melekit campuran air liur, makanan dan kuman yang terkumpul pada gigi dan dicelah lapisan gusi yang boleh menyebabkan berlakunya gingivitis. Jika tidak di bersihkan, plak akan mengeras menjadi tartar (kalkulus)

Plak dan tartar ni adalah tempat terbaik untuk kuman-kuman berbahaya membiak. Jika kita malas nak bersihkannya, ia akan menyebabkan gusi kita menjadi gatal.

Seterusnya, penyakit gingivitis akan bermula dan jika kita tidak merawatnya secepat mungkin, keradangan serta kerosakan tisu di sekeliling gigi, gusi, tulang dan serat yang menyambungkan gigi kepada gusi boleh berlaku. Penyakit gusi yang lebih teruk iaitu periodontitis akan berlaku jika ia dibiarkan melarat.

Anda mungkin tak akan sedar pun telah di jangkiti penyakit gusi kerana ianya tidaklah menyakitkan, sehinggalah ia telah menjadi serius. Pada peringkat ini, gigi akan menjadi longgar dan perlu dicabut.

Nak ke muda-muda lagi dah kena pakai gigi palsu? Tak seronok tau makan guna gigi palsu.

 

Antara tanda-tanda anda sudah terkena penyakit gusi adalah:

  • Gusi merah, bengkak, atau sakit
  • Gigi longgar
  • Kerap mengalami nafas berbau (halitosis)
  • Lapisan gigi yang semakin merosot – Gigi kelihatan lebih panjang
  • Gigi beralih dari tempat asal
  • Ruang terbuka di percelahan gigi
  • Bernanah di celah gigi dan gusi (apabila gusi ditekan)
  • Gigi palsu tidak muat dengan baik
  • Perubahan pada kedudukan gigi apabila menggigit

Jika anda mengalami tanda-tanda ini, jumpa dengan doktor gigi cepat-cepat.

 

Apa penyebab yang mengaitkan diabetes kepada penyakit gusi?

  • Kebersihan mulut yang kurang memuaskan merupakan faktor utama pada penyakit gusi untuk semua orang, tetapi lebih teruk kesannya pada pesakit diabetes..
  • Diabetes boleh memberi kesan kepada struktur saluran darah dan memperlahankan kitaran darah, dan menjadikan tisu gusi lebih mudah dijangkiti
  • Diabetes akan menurunkan ketahanan badan kepada jangkitan yang akan meningkatkan kebarangkalian gusi mengalami jangkitan
  • Kadar glukosa yang tinggi dalam air liur merangsang pembiakan bakteria yang menyebabkan penyakit gusi.
  • Pesakit diabetes yang merokok berpeluang lebih tinggi untuk mengalami penyakit gusi daripada mereka yang merokok dan tidak mengalami diabetes.

 

Masalah kesihatan mulut lain yang sering di alami pesakit diabetes:

  • Gusi bengkak dan bernanah
  • Karies gigi
  • Jangkitan kulit seperti jangkitan Candida
  • Lichen planus (sejenis keradangan kulit )
  • Ulser mulut
  • Gangguan pada deria rasa
  • Mulut kering dan pedih ( kadar penghasilan dan pengaliran air liur rendah)
  • Penyembuhan perlahan tisu-tisu mulut

 

Cara-cara nak kurangkan atau elakkan masalah ni;

  • Elakkan mulut kering dengan meminum banyak air atau mengunyah gula-gula getah tanpa gula untuk membantu pengaliran air liur.
  • Berhenti merokok.
  • Gunakan berus gigi lembut dan gantikannya setiap 3 bulan.
  • Gosok gigi sekurang-kurangnya 3 minit dua kali sehari menggunakan ubat gigi berfluorida, atau selepas setiap waktu makan jika boleh.
  • Flos sekurang-kurangnya sehari sekali.
  • Mengikut nasihat doktor berkenaan diet dan ubat untuk memastikan kadar gula dalam darah berada pada kadar normal sebaik mungkin.
  • Berjumpa doktor gigi sekurang-kurangnya dua kali setahun untuk nasihat tentang penjagaan di rumah, intervensi awal dan prosedur pencegahan kerap untuk memastikan gigi dan gusi sihat.
  • Jadualkan rawatan pergigian pada waktu pagi dan makan ubat-ubat anda seperti diarahkan. Prosedur pergigian seharusnya singkat dan bebas stres.
  • Tunjukkan doktor gigi anda senarai nama-nama ubat dan kadar pengambilannya. Doktor gigi anda perlu tahu maklumat ini untuk memberi ubat yang paling kurang berkemungkinan bertindak balas dengan ubat-ubat lain yang sedang diambil.
  • Sekiranya kadar gula dalam darah berada di luar kawalan, tangguhkan prosedur pergigian bukan kecemasan melainkan terdapat jangkitan akut yang berkembang cepat seperti nanah yang memerlukan rawatan serta merta.
  • Jika memakai gigi palsu, pastikan gigi tersebut bersih dan tanggalkan pada waktu malam. Ketatkan atau selaraskan sekiranya gigi berasa longgar atau kurang selesa.

 

Anda mungkin rasa penyakit ni tidak akan terjadi kepada anda. Jangan ambil mudah perkara ini, kerana ia boleh menjangkiti sesiapa sahaja. Anda tentu tak mahu hilang semua gigi di usia muda.

Mencegah tu kan lebih baik dari mengubati.


3 thoughts on “Cara-Cara Nak Elakkan Gigi Anda Luruh di Usia Muda

  1. ummiqadeer says:

    mcmne ek nak elakkan seriau jmpe dr gigi

  2. henrytan says:

    minum banyak susu! hahaha btw that photo of gigi~~ omg~~~ kena lah rajin gosok gigi~~

    4D3N Star Cruise 2017

    1. Lizzy says:

      Betul tu. kandungan kalsium yang tinggi dalam susu boleh membantu dapat gigi yang sihat.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *